Friday 31 August 2012

Huraian Kaedah Fiqhiyyah

KAEDAH PERTAMA
الأمور بمقاصدها
“ Setiap perkara bergantung pada niatnya

Maksud kaedah ini ialah amalan dan tindakan seseorang sama ada perbuatan mahupun perkataan natijah dan hukum syaraknya berbeza dengan sebab berbeza tujuan atau niatnya, kerana kadangkala seseorang melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu maka berlakulah ke atasnya hukum yang tertentu kemudian apabila ia melakukan perkara yang sama juga dengan tujuan yang berlainan maka wujudlah suatu hukum yang lain pula. Niat menjadi tempat kembali hukum terhadap amalan atau perbuatan dari segi halal, haram, sah atau fasad, niat juga mendatangkan kesan terhadap perbuatan yang tidak memerlukan aqad sama ada dari segi halal atau haram, kadang kala menjadi halal dan kadang-kadang menjadi haram semata-mata kerana niat. Contohnya : Memerah buah anggur kadangkala untuk dijadikan arak dan kadangkala untuk dijadikan cuka.

Dalil Kaedah ini ialah :

Hadis Rasulullah s.a.w :
انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى
Maksudnya : sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niat, dan sesungguhnya setiap seorang itu apa yang diniatkan.

Kepentingan Niat dalam Islam

1. Membezakan amalan ibadah dengan amalan adat.
2. Membezakan tingkatan ibadah antara satu sama lain.

Contoh-contoh amali yang termasuk di bawah kaedah ini :

1. Berwuduk dan mandi ada kala bertujuan menyejukkan badan atau membersihkan anggota badan dan ada kala bertujuan ibadat.
2. Duduk dalam masjid kadangkala kerana beristirehat dan kadangkala untuk beriktikaf.
3. Memberi harta kepada orang lain berbagai-bagai tujuan di antaranya hibah, zakat, sedekah dan kafarat.
4. Menyembelih binatang ternakan tujuannya berbagai-bagai-bagai juga seperti untuk makan dagingnya sahaja atau untuk mendamping diri (taqarrub) kepada Allah dengan mengalirkan darah.

No comments:

Post a Comment