Sunday 2 September 2012

Sambungan Kaedah Pertama

KAEDAH-KAEDAH YANG TERCETUS DARI KAEDAH
الأمور بمقاصدها
“ Setiap perkara bergantung pada niatnya ”

1. “ عدم اشتراط النية فى عبادة لا تكون عتدة أو لا تلتبس ”
Maksudnya : Tidak disyaratkan niat dalam mana-mana jenis ibadat yang ia bukan jenis adat, atau ia tidak akan kesamaran dengan yang lain.

Contoh :
- Beriman kepada Allah
- Mengenali Allah
- Takut dan mengharap kepada Allah
- Membaca al-Quran kecuali jika dinazarkan

2. “ اشتراط التعيين فيما يلتبس دون غيره ”
Maksudnya : Disyaratkan ta’yin (menentukan) dalam mana-mana amalan yang mempunyai persamaan, tetapi tidak disyaratkan ta’yin pada amalan yang tidak kesamaran dengan yang lain.

Contoh bagi yang perlu dita’yinkan (ditentukan):

- Solat fardu – disyaratkan ta’yin dalam solat-solat fardu yang wujud persamaan seperti solat zuhur dengan solat asar kerana tiada perbezaan dalam pelaksanaan keduanya melainkan dengan ta’yin.
- Semua solat sunat yang bukan mutlak.
Contoh bagi yang tidak perlu dita’yinkan (ditentukan) :
- Bersuci
- Haji
- Umrah

3. “ما لا يشترط التعرض له جملة وتفصيلا اذا عينه واخطأ لم يضر ”
Maksudnya : Sesuatu amalan yang tidak disyaratkan ta’arud baginya sama ada secara ringkas atau terperinci, apabila dita’yinkannya dan tersalah ta’yin, maka ia tidak memudaratkan (tidak batal).

Contohnya :
- Ta’yin tempat solat dan waktunya
- Ta’yin imam akan makmun yang di belakangnya
- Seseorang solat diwaktu kabus tebal lalu diniatkan adaan atau qadaan tiba-tiba nyata tersalah ta’yin maka tidak batal solat tersebut.

4. “ ما يشترط فيها التعيين فالخطأ فيه مبطل ”
Maksudnya : Amalan yang disyaratkan ta’yin, jika tersalah ta’yin maka membatalkan amalan itu.

Contohnya :
- Tersalah dari niat puasa kepada niat solat atau sebaliknya.
- Tersalah niat solat zuhur kepada solat asar.

5. “ ما يجب التعرض له جملة ولا يشترط تعيينه تفصيلا اذا عينه وأخطأ ضر ”
Maksudnya : Amalan-amalan yang wajib dita’arud baginya secara ringkas dan tidak disyaratkan ta’yinnya secara terperinci apabila dita’yinkan dan tersalah maka jadi mudarat (batal).

Contoh-contohnya :
- Seseorang yang berniat sembahyang mengikut Umar, kemudian ternyata yang diikut bukan Umar maka tidak sah sembahyang itu.
- Seseorang sembahyang jenazah dengan berniat si Zaid, kemudian ternyata yang disembahyangkan itu Umar atau diniatkan lelaki yang sebenarnya perempuan, maka terbatal solat jenazah tersebut.
- Rakaat sembahyang tidak disyaratkan ta’yin, tetapi jika niatkan zuhur lima atau tiga rakaat maka tidak sah solat tersebut.
- Seseorang berniat qada’ solat zuhur hsri isnin sedangkan yang wajib dia qada’ ialah solat zuhur hari selasa, maka tidak memadai qada’ itu.
- Pada malam isnin diniat puasa hari selasa , maka puasa itu tidak sah.

6. “ النية فى اليمين تخصص اللفظ العام ولا تعمم الخاص ”
Maksudnya : Niat dalam bersumpah boleh mengkhususkan lafaz yang umum tetapi dia tidak boleh mengumumkan lafaz yang khusus.

Contoh (mengkhususkan lafaz yang umum) :
- Seseorang berkata demi Allah aku tidak akan bercakap dengan seseorang dan dia niatkan orang itu adalah Umar.
Contoh (tidak boleh mengumumkan lafaz yang khusus) :
- Seseorang berkata demi Allah aku tidak minum air kerana dahaga, maka tidak dianggap sumpah kalau dia makan kerana sumpah khusus kepada minum.

7. “ مقاصد اللفظ على نية اللافظ الا فى موضع واحد وهو اليمين عند القاضى ”
Maksudnya : tujuan dan matlamat lafaz adalah dirujuk kepada niat orang yang berlafaz kecuali satu masalah sahaja iaitu sumpah di hadapan Hakim.

- Ini kerana sumpah di hadapan Hakim adalah berdasarkan kepada niat Hakim bukan dikira mengikut niat orang yang bersumpah.

8. “ العبرة فى العقود للمقاصد والمعاني لا للالفاظ والمعاني ”
Maksudnya : Yang diambil kira dalam masalah akad ialah tujuan dan matlamatnya, bukan berdasarkan kepada lafaz dan kalimah-kalimah sahaja.

“ هل العبرة بصيغ العقود أو بمعانيها ”
- Kedua-dua kaedah ini memperlihatkan kepada kita wujud khilaf fuqaha’ tentang masalah akad dari aspek mana yang perlu diambil kira, apakah lafaz yang tersebut atau makna yang tersirat, oleh itu berlaku khilaf dalam mentarjih masalah furu’ (cabang).
Antara contohnya :
1. Apabila seseorang berkata “aku beli dari engkau sehelai baju yang sifatnya sekian.. dengan harga ini” dijawab oleh penjual “ ya, aku jualkan kepada engkau”. Sebahagian ulama mengatakan ia adalah akad jual beli berdasarkan lafaz, manakala sebahagian yang lain mengatakan ia sebagai akad jual salam kerana mengambil kira maknanya.

2. Hibah apabila disyaratkan bayaran seperti dikatakan “ aku hebahkan barang ini kepada engkau dengan harga lima ringgit” menurut pendapat yang asah akad ini dikira jual berdasarkan kepada makna dan tujuannya.

No comments:

Post a Comment